SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah perlu menjalankan satu lagi kajian semula berhubung pemberian khas Sabah bagi tahun 1974 hingga 2022.Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, antara perkara yang menjadi pertikaian adalah tafsiran undang-undang ke atas Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan."AGC akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah menerimanya kelak sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," katanya ringkas pada Sabtu.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa mahkamah memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional' serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.Menurut beliau, adalah tidak sah bagi pihak kerajaan Persekutuan untuk membuat pemberian khas sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh.Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga (Second dan Third Review Order) yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah, dan seterusnya membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama kerajaan negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.Perintah tersebut menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan bahagian tertentu dalam tiga warta kerajaan yang berkaitan.Kes tersebut dimulakan oleh SLS pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.