KUALA NERUS : Tiada kertas siasatan dibuka buat masa ini berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata kes berkenaan melibatkan isu teknikal antara FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada badan induk itu untuk menyelesaikannya. “Jadi terpulang kepada FIFA sama ada akan pertimbangkan atau tidak berhubung rayuan.” “Buat masa ini, SPRM tidak akan menyiasat kes ini kerana ia lebih kepada tindakan FIFA.” “Kita juga mengambil kira pengesahan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri berhubung ketujuh-tujuh pemain berkenaan.” Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Media sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA. Mereka didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen. Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. – Bernama