BANTING – Tindakan seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar merah memecah masuk sebuah rumah di Taman Baiduri, di sini, awal pagi Rabu lalu terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari penghuni rumah berusia 53 tahun apabila mendapati keadaan di tingkat bawah kediamannya berselerak ketika bangun tidur."Pemeriksaan lanjut mendapati wang tunai yang disimpan di dalam almari ruang tamu telah hilang."Hasil semakan CCTV menunjukkan seorang lelaki berpakaian gelap, memakai sarung tangan dan bertopi keledar merah memasuki rumah serta mencuri wang tunai berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Menurut Mohd Akmalrizal, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000 manakala rakaman kejadian kini tular di platform media sosial X.com.Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah."Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini," ujarnya.Mohd Akmalrizal turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menyalurkannya kepada pihak polis."Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.