'Ummi, abah berada di Makkah ketika terima berita duka pemergian adik'

PASIR GUDANG – [KEMAS KINI] "Allahyarham pernah cakap rindu sangat dengan ummi dan abah yang berada di Tanah Suci sejak 7 Oktober lalu sebagai mutawif membawa jemaah umrah."Demikian luahan Ahmad Auf Mohd Ali, 35, abang kepada Ahmad Arif Zawir yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kolej kediamannya di Universiti Malaya (UM) pada Jumaat.Menurutnya, ayah dan ibu mereka iaitu Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A.Rahman, 61, menerima berita duka mengenai pemergian Ahmad Arif selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Makkah."Kami maklumkan berita pemergian arwah kepada ummi dan abah menerusi kumpulan WhatsApp keluarga. Ketika itu mereka berada di Makkah. Ummi dan abah reda dengan pemergian adik kerana kembali kepada Illahi pada hari Jumaat yang mulia."Setiap urusan jenazah termasuk di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kami buat penstriman langsung atau live supaya mereka dapat menyaksikan dari sana," katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Cahaya Masai di sini pada petang Sabtu.Ahmad Auf memaklumkan ibu bapa mereka bakal tiba lebih awal selepas agensi penerbangan menukar jadual pulang ke tanah air dengan penerbangan jam 2 petang pada Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah malam ini.Sementara itu, Ahmad Auf yang bekerja sebagai jurutera berkongsi detik terakhir bersama arwah ketika menghantar pulang adiknya itu untuk urusan pendaftaran semester baharu pada Ahad lepas."Arwah yang merupakan anak ke lapan daripada sembilan beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap."Itulah kali terakhir kami berjumpa dan tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir," ujarnya.Tambahnya, sebaik mengetahui berita pemergian adiknya pada petang Jumaat, dia terus bergegas dari Masai ke Kuala Lumpur pada jam 6 petang dan tiba di PPUM kira-kira jam 3 pagi tadi akibat kesesakan jalan raya."Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan. Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk UM, polis, unit forensik dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membantu pengurusan jenazah," katanya.