Polis siasat lelaki tunjuk isyarat lucah, tumbuk cermin bas di terminal BSI

JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat insiden melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang bertindak agresif dan menunjukkan isyarat lucah di terminal bas Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Jumaat lalu.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun pada Sabtu."Kejadian tersebut turut tular di aplikasi X dan suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk telah menumbuk cermin serta menendang pintu bas."Suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan kerana tidak dapat menaiki bas di terminal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika ugutan itu bukan melibatkan ancaman menyebabkan kematian, kecederaan parah atau kerosakan harta benda.Bagaimanapun Raub berkata, jika ugutan tersebut melibatkan ancaman kematian, kecederaan parah atau kerosakan harta benda dengan api atau merendahkan maruah wanita, hukuman boleh dikenakan sehingga tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya."Kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan."Pihak polis Johor Bahru Selatan akan terus memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan memberikan maklumat lanjut apabila siasatan selesai," katanya.