CADANGAN kerajaan untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun membuka perdebatan antara kebebasan digital dan tanggungjawab melindungi kanak-kanak.Walaupun ia dilihat sebagai usaha melindungi golongan muda daripada cabaran dunia siber, pelaksanaannya memerlukan penelitian mendalam dari aspek undang-undang, realiti sosial serta teknikal.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan bersama penyedia platform media sosial.Menurutnya, pelaksanaan kelak akan berpandukan kepada akta sedia ada yang berkaitan keselamatan dalam talian.Langkah ini sebenarnya selari dengan trend antarabangsa apabila beberapa negara Eropah seperti Perancis dan Ireland telah memperkenalkan garis panduan ketat terhadap akses media sosial oleh pengguna bawah umur 16 tahun.Alasannya adalah untuk melindungi kesejahteraan mental remaja dan mengurangkan pendedahan terhadap kandungan berbahaya seperti buli siber, penipuan serta eksploitasi seksual.Malaysia dilihat bergerak ke arah yang sama, iaitu menilai semula tanggungjawab sosial penyedia platform terhadap pengguna muda.Namun, cabarannya adalah pada aspek penguatkuasaan sebenar apabila platform seperti Instagram, TikTok dan X masih menggunakan sistem pengesahan umur yang bergantung kepada pengakuan pengguna sendiri.Tanpa mekanisme pengesahan identiti digital yang kukuh, had umur mungkin hanya menjadi simbolik.Dalam konteks ini, keperluan untuk menambah baik sistem verifikasi umur yang sah mungkin menjadi kunci utama, termasuk usaha menggunakan semakan dokumen rasmi kerajaan.Dari sudut sosiologi, kenaikan had umur juga mencetuskan persoalan sama ada ia boleh mengurangkan risiko terhadap remaja atau membuka ruang maya yang lebih tersembunyi dan sukar dikawal.Golongan remaja kini membesar dalam ekosistem digital, dan sekatan tanpa pendidikan literasi media boleh menjurus ke arah penggunaan akaun palsu atau pendedahan tidak terkawal di platform alternatif.Pendekatan holistik bukan sekadar menaikkan angka usia, tetapi turut merangkumi pendidikan keselamatan siber di sekolah, sokongan psikologi kepada remaja yang aktif dalam talian, serta tanggungjawab ibu bapa dalam memantau aktiviti digital anak-anak.Sekiranya kerajaan benar-benar mahu menjadikan had umur itu efektif, pelaksanaannya perlu melibatkan tiga lapisan tanggungjawab, iaitu dasar kerajaan yang jelas, komitmen syarikat teknologi, dan kesedaran keluarga.Sinergi itu dapat melindungi remaja daripada bahaya dunia maya dan membentuk kesejahteraan mental.