SPRM tahan bekas kakitangan badan berkanun kes penyelewengan dana bantuan zakat

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket penyelewengan dana bantuan yang melibatkan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000 bagi 28 pemohon yang tidak layak.Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu kemudian direman empat hari hingga 22 Oktober.Perintah reman dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 4.30 petang Sabtu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur."Siasatan awal juga mendapati suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM2,500 dan melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu."Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.