BANGKOK : Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menyatakan rundingan empat pihak mengenai pertikaian sempadan Kemboja-Thailand sedang menuju ke arah penyediaan draf Deklarasi Bersama mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Rundingan empat pihak antara Amerika Syarikat, Malaysia, Thailand dan Kemboja itu diadakan di Kuala Lumpur pada 12 dan 17 Oktober dengan matlamat memulihkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran berkenaan. Sihasak berkata perbincangan melibatkan perincian pelaksanaan bagi empat bidang keutamaan termasuk ke arah merangka Deklarasi Bersama mengenai hubungan Thai-Kemboja. Mesyuarat berkenaan merupakan susulan kepada pertemuan pertama yang diadakan di New York pada September 2025 katanya. Perkembangan positif telah dicapai dalam empat bidang keutamaan bagi Thailand termasuk pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan pembersihan periuk api membanteras jenayah rentas sempadan dan pengurusan kawasan sempadan berkeutamaan. Jika perbincangan ini akhirnya mencapai hasil yang memuaskan Deklarasi Bersama ini mungkin akan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dengan kehadiran Malaysia dan Amerika Syarikat katanya dalam satu kenyataan. Sihasak berkata Sekretariat Jawatankuasa Sempadan Am bagi kedua-dua negara akan tetap mengadakan mesyuarat pada 20 dan 21 Oktober untuk membincangkan pelan tindakan terperinci bagi memastikan pelaksanaan konkrit terhadap apa yang telah dipersetujui. Menurut beliau dokumen berkenaan juga perlu melalui prosedur dalaman dan mendapat pengesahan daripada Menteri Pertahanan kedua-dua negara. Mengenai 18 tahanan perang Sihasak berkata Thailand perlu melihat kemajuan konkrit dalam pelaksanaan beberapa perkara tertentu sebelum mempertimbangkan pembebasan mereka. Ketegangan antara kedua-dua negara jiran mengenai pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu meningkat kepada konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai namun terhenti selepas perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di Putrajaya pada 28 Julai. – Bernama