PRESIDEN UFC, Dana White mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung laporan aktiviti pertaruhan mencurigakan dalam salah satu pertarungan di UFC Vegas 110 pada Ahad lalu.Isaac Dulgarian diramal mengalahkan petarung bukan pilihan, Yadier del Valle dalam kelas featherweight, namun tewas pada pusingan pertama melalui rear-naked choke.Kekalahan itu berlaku selepas syarikat integriti pertaruhan, IC360 memberi amaran kepada UFC mengenai sejumlah besar pertaruhan yang dibuat pada pertarungan tersebut.White berkata kepada TMZ, pihaknya menghubungi FBI sebaik sahaja menyedari aktiviti pertaruhan mencurigakan.Beliau mengadakan dua pertemuan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang itu pada Selasa.Susulan kejadian itu, seluruh bayaran pertarungan Dulgarian ditahan oleh Suruhanjaya Atletik Negeri Nevada, manakala Del Valle menjelaskan di media sosial bahawa beliau menguasai pertarungan tersebut dan keputusan kemenangan bukan hasil sebarang manipulasi.Dulgarian dan jurulatihnya, Marc Montoya menafikan sebarang penglibatan dalam sebarang penipuan pertaruhan.Montoya berkata dalam The Ariel Helwani Show: "Kami langsung tiada kaitan dengan tuduhan itu. Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah bertaruh dan tidak tahu caranya. Ini pekerjaan seumur hidup saya dan saya tidak akan menjual integriti saya untuk wang."Dalam kenyataan rasmi, UFC menekankan bahawa integriti sukan menjadi keutamaan dan organisasi itu bekerjasama dengan IC360 untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap pertarungan Dulgarian dan del Valle.Sehingga kini, masih belum jelas sejauh mana siasatan FBI dan potensi impaknya terhadap pertarungan lain.Bagaimanapun, Dulgarian yang memiliki rekod dua kemenangan dan dua kekalahan tidak lagi bertarung di dalam Oktagon kerana dilepaskan UFC.