JOHOR BAHRU - Tindakan sekumpulan warga asing bersembunyi di dalam bilik air bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tidak berjaya apabila mereka akhirnya diberkas dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di Taman Mount Austin, awal pagi Ahad.Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi Op Sapu di Taman Mount Austin itu dijalankan bermula jam 12.30 pagi membabitkan 30 pegawai Bahagian Penguatkuasaan negeri."Hasil risikan dan aduan awam mendapati beberapa rumah kedai di kawasan berkenaan dijadikan tempat tinggal warga asing."Ketika serbuan dilakukan, ada antara mereka sedang berehat manakala sebahagian lagi cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik mandi, namun semuanya berjaya diberkas," katanya dalam kenyataan.Menurutnya, operasi itu membawa kepada penahanan 45 warga asing berusia antara sembilan bulan hingga 46 tahun atas pelbagai kesalahan Imigresen."Mereka terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, sembilan lelaki Pakistan, tujuh lelaki India, 19 lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, selain lima wanita dan seorang wanita Indonesia."Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan sebahagiannya tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan."Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,"ujarnya.Mohd Rusdi berkata, JIM Johor akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menyasarkan lokasi kediaman yang dijadikan penempatan haram."JIM Johor memandang serius isu warga asing yang menyalahgunakan pas atau permit. Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang," katanya lagi.