Hasrat makan angin tidak kesampaian, lelaki maut motosikal terbabas

ALOR GAJAH - Hasrat seorang pemuda dari Ampang, Selangor untuk ‘makan angin’ ke Johor Bahru tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 196 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada petang Sabtu.Mangsa, Muhammad Sufian Khairul Anwar, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru."Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar penghadang besi."Akibat hentaman itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat."Tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut sementara motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat hentaman kuat pada penghadang jalan."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) kerana menyebabkan kematian akibat menunggang secara cuai atau berbahaya," katanya.