PUTRAJAYA - Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2025 yang diadakan pada 8 dan 9 November di Padang Semarak, Taman Wetland di sini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi keluarga melalui penerapan nilai murni kekeluargaan berteraskan konsep Malaysia Madani.Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, penganjuran karnival tahun ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan platform penting dalam pelaksanaan dasar pembangunan keluarga di peringkat nasional."Objektif utama adalah untuk mengarus perdana dasar penerapan nilai kekeluargaan sebagai asas pembinaan masyarakat Madani selain menggembleng penyertaan pelbagai pihak dalam memperkukuh kesejahteraan keluarga."Sambutan bertemakan ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’ itu menekankan lima nilai utama iaitu kasih sayang, akhlak mulia, sihat dan selamat, ilmu serta harmoni yang menjadi panduan pembentukan keluarga sejahtera dan masyarakat berdaya tahan," katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak pameran hari pertama Karnival NBKK 2025 di sini pada Sabtu.Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang dua hari penganjuran antaranya Ekspo KASIH yang menampilkan pameran nilai kekeluargaan, keselamatan serta kesejahteraan hidup seisi keluarga.Ekspo tersebut, menurutnya, mempamerkan inisiatif mesra keluarga oleh pelbagai agensi dan pihak swasta termasuk promosi pakej perkahwinan khas, taklimat keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tawaran istimewa daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti diskaun bagi taman tema, hotel dan inap desa.Selain itu, acara Kasih Family Fun Run akan diadakan pada pagi Ahad dan dijangka menghimpunkan sehingga 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat."Bazaria Keluarga pula menawarkan Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Agro Madani oleh FAMA dengan potongan harga menarik."Antara aktiviti tarikan lapisan masyarakat pula ialah zoo mini, aktiviti pemerkasaan bapa melibatkan campervan, santai karom, setem keluarga, karikatur keluarga dan Malam Kasih Keluarga."Pengunjung juga boleh meninjau dan melihat sendiri 23 reruai pameran dan jualan daripada pelbagai agensi yang menjadi rakan strategik kementerian," jelasnya.Bagi menggalakkan kehadiran pengunjung ke program tersebut, Abdul Shukur berkata, perkhidmatan bergerak menggunakan trak dan bas disediakan dari tempat letak kenderaan ke tapak pameran.Selain itu, beliau memaklumkan, LPPKN dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) juga menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik kepada orang awam secara percuma selama dua hari dari Putrajaya Sentral dan Perhentian Bas Kompleks E, Putrajaya ke Taman Wetland.Perkhidmatan tersebut bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dan 8.30 malam hingga 10.30 malam pada Sabtu, manakala 8.30 pagi hingga 5 petang pada Ahad."Kemudahan pengangkutan ulang-alik dari pintu masuk utama Taman Wetland turut disediakan ke Padang Semarak Wetland," ujarnyaOrang ramai boleh layari laman web https://bulankeluarga.lppkn.gov.my/ untuk maklumat lanjut mengenai karnival ini.November bulan semarakkan semangat kasih Madani dalam keluargaMenteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berharap supaya sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan akan terus disemarakkan dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk kekeluargaan.Justeru, beliau menggalakkan setiap ahli masyarakat untuk melakukan aktiviti kekeluargaan yang bersesuaian."Aturkan pertemuan sesama keluarga bagi mengeratkan silaturahim, saling menghargai, bermaafan serta mengekalkan semangat kasih Madani serta memberi masa bersama keluarga."Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan juga diharap dapat memperkasakan institusi keluarga ke arah pembangunan negara dalam pelbagai bidang dan bukan hanya tumpu kepada pembangunan sosial," katanya.Beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran Bulan Keluarga Kebangsaan menerusi pelaksanaan program dan aktiviti kekeluargaan di peringkat organisasi masing-masing.Katanya, KPWKM juga mengalu-alukan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta untuk menyokong dan menyertai sambutan NBKK 2025 melalui kerjasama dan kolaborasi strategik."Tema Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2025 ini menyeru ahli keluarga, masyarakat dan warganegara untuk mencapai kedamaian dalam keluarga, perpaduan dalam masyarakat dan kesejahteraan dalam negara."Ia bermula dari menjaga keharmonian dalam keluarga. Eratkan hubungan dalam perkahwinan, adik-beradik, saudara dan jiran dengan bertoleransi sesama ahli keluarga," ujarnya.