Taktik 'nakal' Sunderland buat Arsenal gigit jari

SUNDERLAND menggunakan taktik licik apabila memendekkan perimeter padang di Stadium of Light bagi menyekat kelebihan Arsenal dalam lontaran jauh dan hasilnya, mereka berjaya mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu 2-2 dalam aksi penuh dramatik, awal pagi Ahad.Sebelum perlawanan, petugas stadium mengalihkan papan iklan sekitar tujuh kaki lebih dekat ke garisan permainan, bagi mengurangkan ruang pemain Arsenal melancarkan lontaran jauh berbahaya.Gambar perubahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan sebahagian besar penyokong menganggap tindakan itu sebagai helah "nakal tetapi bijak".Di atas padang, Sunderland tampil berani dan memberi saingan sengit kepada skuad bimbingan Mikel Arteta.Stadium of Light bergema apabila bekas pemain akademi Arsenal, Dan Ballard meledak gol pada minit ke-36 untuk meletakkan tuan rumah di depan, sekali gus menamatkan rekod tanpa bolos Arsenal selama lebih 13 jam permainan.Arsenal bangkit selepas rehat melalui jaringan Bukayo Saka dan Leandro Trossard untuk mendahului 2-1, namun drama belum berakhir.Penyerang baharu Sunderland, Brian Brobbey muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94 menerusi sepakan gunting akrobatik yang menewaskan David Raya.Ballard kemudian menutup aksi cemerlangnya dengan melakukan halangan penting di saat akhir untuk menafikan Arsenal jaringan kemenangan.Pengurus Sunderland, Regis Le Bris, mengesahkan selepas perlawanan bahawa tindakan memendekkan perimeter padang itu dibuat secara sengaja bagi mencari kelebihan kecil dalam pertemuan berprofil tinggi itu."Kami tahu Arsenal sangat kuat dalam situasi bola mati, jadi kami cuba mengurangkan ancaman itu."Ia keputusan taktikal yang kecil, tetapi penting," katanya kepada BBC Sport.Keputusan seri itu mengekalkan Arsenal di tangga teratas dengan kelebihan tujuh mata, manakala Sunderland melonjak ke tempat keempat liga, menyamai kutipan mata dengan Manchester City di kedudukan kedua.