KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa apa sahaja perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian antara kaum wajib ditentang secara tegas.Titah baginda, perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat merupakan asas penting bagi menjamin kelangsungan, kemakmuran, kemerdekaan dan kestabilan politik negara."Tikar merdeka yang dihamparkan kepada kita ialah hasil tangan anyaman nenek moyang kita secara bersama. Secara bijak nenek moyang kita menganyam mengkuang pelbagai warna, disulam menjadi sebidang tikar untuk dijadikan tempat duduk mengalas kehidupan, membolehkan anak cucu melunjur sila di padang damai Malaysia."Warga yang patriotik dan berjiwa Malaysia wajib mempertahankan perpaduan yang telah lama teranyam antara kaum yang menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa," titah baginda.Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-69 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.Sultan Nazrin turut menekankan bahawa usaha menyatupadukan rakyat tidak terlepas daripada cabaran besar apabila terdapat pihak yang mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah untuk kepentingan tertentu.Tindakan sedemikian titah baginda, adalah bercanggah pada waktu yang sepatutnya lebih memberi fokus, mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu."Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa atau tempat berpesta bagi mereka yang mabuk kuasa. Merdeka itu bakal hancur makna apabila lidah sebahagian rakyat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat," titah baginda.Dalam titah baginda mengingatkan bahawa tindak tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi, dibimbangi akan membawa kerugian besar sedangkan masih banyak perkara perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dan kemiskinan."Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan sumber kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif," titah baginda.Justeru baginda mahu semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin ketika membentuk negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati."Sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang aman, harmoni dan makmur," titah baginda.Selain itu, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu pembangunan negeri Perak, termasuk Raja Muda, Raja Di Hilir, Kerabat Diraja, Menteri Besar, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, ulama, imam, jawatankuasa pembangunan kampung, NGO, badan kebajikan, pertubuhan belia dan sektor swasta.Baginda menegaskan bahawa kerjasama semua pihak ini adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang aman sehingga membolehkan warganya berada dalam sejahtera.Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak tahun ini menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 238 penerima dengan dikurniakan Darjah Dato' Seri Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.Turut menerima, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Peguam Cara Negara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Besar Empat Negeri Perak, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan menerima Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dianugerahkan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.Dalam sesi pertama penganugerahan yang berlangsung pada Ahad, seramai 29 individu menerima darjah kebesaran masing-masing sementara selebihnya di lokasi sama pada sesi kedua yang akan berlangsung pada 15 November nanti.