KLANG – Sanggup melawan arus dan cuba melarikan diri melalui lorong tikus antara tindakan nekad dilakukan penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dalam operasi khas bersepadu di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini awal pagi Ahad.Operasi berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, bermula jam 12 tengah malam.Lokasi operasi tertumpu di sekitar susur keluar Jalan Kebun menghala ke Jalan Klang–Banting, yang dikenal pasti sebagai antara laluan tumpuan kumpulan 'mat rempit' menjalankan aktiviti berbahaya pada setiap hujung minggu.Difahamkan, kawasan berkenaan menjadi pilihan kerana mempunyai laluan lurus sejauh hampir enam kilometer, pencahayaan terang dan jalan luas yang memudahkan penunggang memecut laju serta melakukan pelbagai aksi berisiko tinggi.Sebahagian mereka bertindak agresif dengan melawan arus dan cuba melarikan diri melalui laluan sempit serta lorong tikus, namun gagal selepas polis menutup semua jalan keluar.Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, sebelum operasi dijalankan, sebahagian besar penunggang motosikal menjadikan lebuh raya berkenaan seolah-olah litar lumba untuk menguji kehebatan ‘jentera’ masing-masing.Pelbagai aksi berbahaya dilakukan termasuk meniarap di atas motosikal dan menunggang secara zig zag yang menghalang laluan pengguna jalan raya lain.Suasana menjadi kecoh apabila sebahagian penunggang berpatah balik dan melawan arus sebaik menyedari kehadiran pihak polis di lokasi terbabit.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi khas bersepadu itu dijalankan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di sekitar Lebuhraya Kesas yang kerap menjadi tumpuan setiap hujung minggu."Penutupan penuh kedua arah Lebuhraya Kesas melibatkan 25 simpang utama yang dikawal anggota JSPT dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan konsesi lebuh raya terbabit."Kawasan penutupan meliputi Kilometer 18 hingga Kilometer 26.2 dengan anggaran jarak enam kilometer yang dikenal pasti sebagai lokasi aktif aktiviti samseng jalanan," katanya pada Ahad.Katanya, selain pihak polis, operasi ini turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Konsesi Lebuhraya Kesas."Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 210 motosikal diperiksa dan dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan untuk tindakan lanjut."Daripada jumlah itu, empat individu ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya," katanya.Shazeli berkata, sebanyak 105 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan, manakala 48 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987."Selain itu, pemeriksaan JAS turut mendapati lapan motosikal diperiksa dan tiga daripadanya dikeluarkan notis saman."Saringan air kencing oleh AADK turut dijalankan dan mendapati lima individu positif melibatkan tiga positif ganja dan dua positif ketum," katanya.Jelasnya, polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengekang kegiatan lumba haram yang mengancam nyawa."Golongan muda terutamanya diingatkan agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya lain," katanya.