KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta rakyat di negeri ini mendengar penjelasan beliau mengenai perbelanjaan yang telah disalurkan kerajaan Persekutuan sebelum membangkitkan persoalan mengenai tuntutan 40 peratus hak Sabah.Jelasnya, kerajaan Persekutuan sentiasa menyalurkan peruntukan lebih kepada Sabah namun dalam masa sama negeri lain juga perlu diberikan perhatian."Di pasar tadi ada orang tanya, 'Datuk Seri, 40 peratus, 40 peratus' Jadi saya jawab, dengar dulu... Berapa yang kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah? Bangunkan sekolah, perubatan, doktor, sempadan ESSCOM, kawal sempadan, pertahanan semua."Saya tak mahu pertahankan yang dulu sebelum ini, saya nak jelaskan kerakaan Madani, tahun 2024 hasil cukai, cukai pendapatan, pelbagai cukai diambil kerajaan persekutuan keseluruhannya RM10 bilion, hasil Sabah diambil ke Putrajaya... Wah banyaknya.. dengar dulu..."Berapa yang kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah....Kita ambil hasil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion, sebab apa? Sebab kita pakat antara kerajaan Persekutuan dan negeri gunakan hasil kita bangunkan semua negara di Malaysia ini dan kebetulan Sabah sedikit ketinggalan, kita bantu lebih," katanya ketika berucap pada program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).Beliau berkata demikian ketika mengimbas semula semasa sesi ramah mesra bersama komuniti tempatan yang membangkitkan isu pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).Anwar turut menegaskan bahawa prinsip keadilan dalam pembahagian hasil negara mesti merangkumi semua negeri, termasuk negeri-negeri miskin seperti Perlis dan Kelantan."Kelantan negeri miskin, masalah banjir tiap tahun, kita belanja berbilion ringgit... Kalau Perlis fikir hanya Perlis, Sabah fikir hanya Sabah, negara kita takkan maju. Anak-anak Sabah juga anak Malaysia. Kita nak angkat Sabah, tapi kita juga kena angkat Malaysia," katanya.Beliau dalam pada itu turut membidas pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan kerajaan pimpinannya, sedangkan ketika mereka memerintah, isu pelaksanaan tuntutan 40 peratus tidak ditangani secara tuntas."Ada yang kata, ‘patutnya lebih lagi’. Saya tanya balik, masa kamu jadi Perdana Menteri dulu, berapa kamu bagi? Kamu marah saya sebab saya bagi lebih," katanya.