'Sangka rakan serumah pulang, rupanya dikejutkan lelaki tidak berpakaian'

KUALA LUMPUR - Seorang wanita cedera selepas bergelut dengan suspek tidak berpakaian yang memecah masuk kediamannya di Taman Sri Sentosa di sini pada Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa sedang menyidai pakaian sebelum terdengar bunyi pintu jeriji dibuka dan menyangka rakan serumah yang membukanya.Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, selepas menyedari kehadiran suspek, mangsa berusia 20 tahun cuba melarikan diri, namun dihalang suspek lelaki terbabit.Menurutnya, kejadian itu menyebabkan berlaku pergelutan kedua-dua mereka yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada paha kiri, bibir dan tangan kiri yang lebam serta calar."Suspek telah mengugut membunuh mangsa dan turut meminta wang."Mangsa juga cuba mendapatkan bantuan melalui telefon bimbitnya, namun suspek mengambil telefon itu sebelum keluar selepas wanita itu tidak memberi kata laluan telefonnya," katanya pada Ahad.Beliau berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, suspek yang mempunyai 12 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah selain positif ganja ditahan di Taman Sri Sentosa pada jam 7.12 petang Sabtu.Tambahnya, polis telah merampas tiga telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah beg galas, sebuah komputer riba, sehelai baju, seluar dan selipar."Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit beberapa kes yang disiasat sebelum ini membabitkan kes di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan."Lelaki itu turut mendakwa menyamun untuk kegunaan perbelanjaan harian," ujarnya.Tegasnya, suspek direman lima hari sehingga 13 November ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.