KUALA LUMPUR – "Kami reda… dan itulah keputusan paling berat dalam hidup kami," luah Nur Izati Mohd Hairi, 34, ketika mengenang detik beliau dan suami terpaksa membuat keputusan menamatkan bantuan pernafasan anak mereka, Muhammad Zafri Aman Shaiful, 11, selepas keadaan otaknya gagal memberikan sebarang maklum balas.Menurut Izati, keputusan tersebut dibuat setelah pasukan perubatan memaklumkan bahawa keadaan Zafri semakin kritikal dengan otaknya mengalami bengkak serius."Selain itu otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak, itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya," katanya dengan suara sayu.Walaupun berat menerima hakikat itu, ibu ini tetap reda dan tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Katanya, guru-guru telah menjaga dan mendidik anaknya dengan baik sepanjang dia bersekolah."Zafri sangat sayang cikgu-cikgu. Dia selalu balik rumah dan bercerita tentang mereka. Dia seronok ke sekolah kerana mahu jumpa cikgu," katanya.Zafri, anak kedua daripada lima beradik serta kembar kepada Muhammad Zakir, disahkan menghidap autisme sejak usia setahun. Dua beradik itu sangat rapat dan sering melakukan semua perkara bersama."Rumah kami dulu riuh dengan suara Zafri… dia suka buat bunyi-bunyi sebagai cara mengekspresikan diri. Sekarang rumah jadi sunyi. Zakir pun banyak termenung dan sangat rindukan abangnya," jelasnya.Menurut Izati, Zafri menunjukkan kelainan pada pagi sebelum kejadian apabila bangun lebih awal dan teruja untuk ke sekolah bagi mengikuti aktiviti air di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi.Ketika kejadian, Izati berkata dia menerima panggilan daripada guru anaknya yang menangis sambil menyebut nama Zafri dan meminta dia segera ke lokasi. Setibanya di situ, Zafri sudah tidak sedarkan diri dan kebiruan.Jurulatih cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Zafri sempat menunjukkan tindak balas awal di HCTM UKM namun keadaannya kembali merosot sehingga akhirnya disahkan meninggal dunia pada Jumaat kira-kira jam 2.30 petang.Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Zafri, murid Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, dipercayai lemas ketika menjalani Program Sokongan Keyakinan Air di kolam renang Kompleks Sukan Desa Tasik pada Rabu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata mangsa tidak sedarkan diri ketika program berlangsung dan menerima rawatan susulan di hospital sebelum meninggal dunia.