SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Solehah Yaacob menjelaskan bahawa hipotesis beliau berhubung sejarah teknik pembinaan kapal tamadun Rom adalah berpaksikan sumber pembacaan Arab klasik.Ujarnya, sumber berkenaan mencadangkan bahawa orang Rom telah memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal daripada bangsa Alam Melayu."Kecekapan mereka (orang Melayu) dalam ilmu pelayaran dan pembinaan kapal menjadikan mereka antara penguasa lautan terawal dalam sejarah manusia."Saya berpendapat bahawa orang Melayu adalah antara bangsa pertama dalam sejarah manusia yang membangunkan seni pembinaan kapal dan bahawa orang Rom seperti banyak tamadun lain, mewarisi ilmu pelayaran daripada tamadun maritim yang lebih awal, khususnya dunia Melayu," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.Sebelum ini, Solehah menerusi perkongsian video syarahan di saluran Youtube mendakwa bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.Dalam pada itu, menurut Solehah, meskipun sukar mengenal pasti secara tepat bagaimana teknologi maritim Melayu membawa perubahan kepada bangsa Rom, namun menyatakan bahawa proses pemindahan ilmu tersebut didakwa melibatkan pelayaran merentasi lautan luas."Berdasarkan catatan sejarah, kayu Eropah pada waktu itu tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh dan hal ini berkemungkinan mendorong orang Rom mendapatkan pelayar berpengalaman dari Mesir, bahkan mungkin dari dunia India atau Alam Melayu, untuk membimbing mereka ke sumber besi Qal 'a (bahan kepada salah satu pedang Nabi Muhammad SAW)."Bukti sokongan daripada arkib muzium di Australia menunjukkan bahawa pembina kapal laut dalam yang terbaik berasal daripada Indonesia moden, iaitu Austronesia."Laporan akhbar lama turut merakam kenyataan menarik iaitu lelaki pertama yang belayar mengelilingi dunia ialah orang Melayu," ujarnya.Solehah turut menjelaskan bahawa, istilah ‘Melayu’ telah wujud lebih awal daripada istilah ‘Austronesia’, yang hanya diperkenalkan oleh para orientalis Eropah pada abad ke-19 sebagai sebahagian daripada sistem klasifikasi akademik mereka."Sebelum istilah itu wujud, siapakah bangsa pelayar ini? Jelas bahawa pada zaman Empayar Śrīvijaya (sekitar 600-1200 Masihi) yang dikenali sebagai Empayar Maritim Melayu Agung-nenek moyang kita telah diiktiraf sebagai orang Melayu," kata beliau.Kata Solehah, dengan penjelasan tersebut, diharap segala bentuk fitnah, penghinaan, penyelewengan maklumat dan ejekan di semua platform dapat dihentikan segera."Hipotesis saya mengenai kejayaan bangsa Melayu dan pengaruh pinjaman bangsa Rom mungkin benar atau mungkin salah."Namun, dalam tradisi akademik dan Islam, kita diajar untuk menghormati perbezaan pandangan," menurutnya.