Bot karam: Tujuh mayat termasuk kanak-kanak dijumpai

LANGKAWI - Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Malaysia-Thailand menemukan enam mayat lagi termasuk seorang kanak-kanak, sehingga jam 7 malam Ahad.Angka terbaharu itu menjadikan kesemua tujuh mayat dijumpai setakat ini, terdiri daripada enam wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.Kesemua mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, bahawa tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut.Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dihantar sindiket menggunakan kapal besar kira-kira 300 orang sebelum dipindahkan ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara."Sebuah bot yang membawa muatan kira-kira 90 orang dipercayai karam, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan," katanya.Kesemua mangsa dipercayai terdiri daripada warga Myanmar termasuk etnik Rohingya dan Bangladesh.Menurutnya, setiap individu disyaki membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.