Skuad remaja buktikan taring di Cheras

PENCAPAIAN pingat perak tetap satu kepuasan buat skuad remaja negara biarpun bukan satu keputusan diharapkan setelah tumpas kepada Thailand A, 2-13 dalam aksi final acara triples campuran Kejohanan Petanque Asia Ke-6 di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.Thailand yang menyenaraikan dua juara dunia remaja, Suekham Pannada dan Aramrod Saharat jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi permainan selepas kedudukan terikat 1-1 pada awal saingan.Skuad negara yang dibarisi Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhammad Arsyad Muhammad Tajuddin, Siti Noor Ellyshatul Balqish Suhaimi dan Nur Erissya Najwa Helmey cuba bangkit, bagaimanapun gagal menghalang lawan daripada terus menjarakkan mata sebelum menutup permainan."Thailand bermain sangat baik, terutama dari segi shooting. Kami cuba strategi balingan jauh tetapi tidak menjadi seperti dirancang. Namun, kami bangga dengan pencapaian ini," kata Muhammad Arsyad.Dalam pada itu, jurulatih, Muhd Nuzul Azwan Ahmad Temizi menyifatkan pingat perak sebagai pencapaian membanggakan kerana pasukan hanya dibentuk Julai lalu dan kebanyakan latihan dilakukan secara dalam talian."Menerusi persiapan singkat dan kurang pendedahan antarabangsa, anak buah saya telah melakukan yang terbaik. Ini bukti program pembangunan remaja berada di landasan betul," katanya.Skuad triple lelaki dan wanita negara pada Sabtu masing-masing meraih gangsa selepas terkandas di separuh akhir kepada Kemboja yang lebih pengalaman.Pasukan lelaki (Team B) diwakili Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Khairul Amirul Zamrul Hisyam, Muhd Idham Shahrulzahari dan Muhd Nuzul Azwan, manakala skuad wanita dibarisi Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Siti Asiah Zaini dan Nur Iman Aina Ahmad Sabti.Malaysia memulakan kempen dengan baik apabila Nur Iman Aina, Muhd Harith Muhaimin Hafaizul dan Muhd Nuzul menyumbang dua perak dan satu gangsa dalam acara shooting.Kem negara mengakhiri saingan selaku tuan rumah dengan kutipan tiga perak dan tiga gangsa, pencapaian yang dianggap sebagai tonik terbaik menjelang Sukan SEA di Thailand akhir tahun ini.