Siapa bertanggungjawab nasib pemain warisan ditamatkan kontrak?

PENGANALISIS sukan, Datuk Dr Pekan Ramli mempersoalkan pihak mana yang akan tampil memikul tanggungjawab terhadap nasib pemain warisan yang ditamatkan kontrak susulan hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).Sebelum ini, dilaporkan Gabriel Palmero menjadi pemain warisan pertama yang ditamatkan kontrak oleh kelabnya, CD Tenerife selepas FIFA mengenakan hukuman penggantungan terhadap pemain itu berhubung isu pemalsuan dokumen.Menurut Pekan, situasi itu menimbulkan persoalan besar mengenai pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab penuh memandangkan keputusan FIFA memberi kesan langsung terhadap masa depan kerjaya pemain berkenaan.Beliau menegaskan untuk menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepenuhnya atau menuntut badan induk itu bertanggungjawab mungkin tidak adil kerana tidak dapat dipastikan sama ada rundingan antara pemain dan kelab dilakukan oleh FAM."Orang akan bercakap bahawa FAM perlu bertanggungjawab. Kalau dilihat secara sepintas lalu, memang nampak begitu kerana FAM yang dikenakan hukuman."Namun, kita juga perlu meneliti dengan lebih mendalam. Tidak adil untuk menuding jari sepenuhnya kepada FAM tanpa mengetahui secara jelas sama ada badan induk itu terlibat secara langsung dalam urusan tawaran dan perjanjian pemain berkenaan."Sebelum ini, ada juga kenyataan di media bahawa FAM tidak mencampuri urusan pengambilan pemain warisan dan ia diuruskan oleh pihak pengurusan pasukan kebangsaan."Jadi, siapa yang menguruskan rundingan ini harus tampil ke depan," katanya kepada Sukan Sinar.Dalam pada itu, Pekan tidak menolak kemungkinan nasib sama akan menimpa beberapa pemain warisan lain seperti Facundo Garces dan Rodrigo Holgado."Jika berlaku penamatan kontrak disebabkan isu sebegini, kelab tidak terpaksa menanggung kerugian."Kelab tidak perlu membayar pampasan kerana mereka mempunyai sebab kukuh untuk menamatkan kontrak. Biasanya dalam kontrak pemain, perkara ini memang diambil kira," katanya.