PUCHONG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu lebih 200 warga asnaf memahami kepentingan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan sihat menerusi pelaksanaan Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 pada Sabtu.Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusof berkata, program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Perkhidmatan Dietetik Kementerian Kesihatan (KKM) Negeri Selangor dan jawatankuasa Masjid As-Salam Puchong Perdana.Beliau berkata, ia bertujuan memberi kesedaran kepada golongan asnaf mengenai peranan pemakanan dalam mencegah dan mengawal penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi serta obesiti."Alhamdulillah, pada hari ini kita menganggarkan kehadiran 200 hingga 300 peserta."Selain program kesedaran, kita turut mengadakan sesi ‘Jejak Kemiskinan’ bagi mengenal pasti serta mendaftar asnaf baharu di sekitar komuniti Masjid As-Salam," katanya selepas perasmian Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 di Masjid As-Salam, Puchong Perdana di sini pada Sabtu.Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan kepada dua penerima bantuan perubatan dialisis LZS.Md Yusmizan berkata, pendekatan berasaskan pencegahan kini menjadi tumpuan utama seiring komitmen LZS untuk memastikan asnaf bukan sekadar dibantu dari segi kewangan, tetapi turut dibimbing untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan produktif.Menurutnya, dalam majlis sama, LZS juga menyerahkan simbolik penyampaian Bantuan Perubatan bernilai RM114.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025."Kita turut menyerahkan bantuan kepada dua penerima. Pertama, bantuan kepada pesakit dialisis berjumlah kira-kira RM41,000, meliputi kos rawatan sepanjang tahun."Kedua, kita menyalurkan bantuan kepada pesakit kanser payudara tahap tiga, melibatkan kos ubat kemoterapi yang perlu diambil setiap bulan," ujarnya.Sementara itu, Ketua Bidang Pegawai Dietatik KKM Negeri Selangor, Dzairudzee Rosli berkata, pendekatan turun padang itu juga memudahkan golongan asnaf untuk mendapatkan maklumat tanpa perlu hadir ke hospital, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan."Ramai sebenarnya mahu belajar tentang pemakanan sihat, namun tidak berpeluang untuk hadir ke hospital disebabkan kos, masa dan kesukaran logistik."Sebab itu program seperti ini penting, kerana kita datang kepada komuniti, bukan menunggu mereka datang kepada kita," ujarnya.