Jumlah belia terjebak perjudian dalam talian agak tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapati jumlah belia di negara ini yang terjebak dengan aktiviti perjudian dalam talian agak tinggi.Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bagaimanapun perkara itu berada di bawah perhatian kementeriannya."(Bagi) perjudian haram dalam talian melibatkan belia, yang ini memang tinggi tetapi data itu saya tak ada sekarang."Namun saya nak bagi jaminan (perkara) ini memang dalam perbincangan KBS bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) sama ada KBS bercadang untuk meningkatkan kuasa undang-undang di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 bagi membendung risiko penipuan dan manipulasi rasuah dalam sukan elektronik atau e-sukan memandangkan potensi hadiah lumayan sukan itu yang boleh mencecah jutaan ringgit.Hannah berkata, KBS merancang untuk meneliti semula isu penguakuasaan dalam Akta Pembangunan Sukan dan sedang menjalankan perbincangan meja bulat dengan pemegang taruh.Beliau berkata, ia untuk melihat bagaimana untuk meminda akta tersebut dan menjadikannya lebih efektif serta memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan dan Menteri.Menyentuh mengenai usaha mempromosikan e-sukan di peringkat sekolah yang dikhuatiri menyumbang kepada penagihan gajet dalam kalangan murid pula, Hannah menjelaskan, dasar KBS adalah bersikap konservatif."Buat masa ini, ketagihan gajet serta penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar kekal menjadi kebimbangan."Kawalan dan bimbingan daripada ibu bapa amat penting agar minat terhadap e-sukan dapat diurus secara seimbang."Setakat ini, tiada promosi secara aktif dilaksanakan sama ada oleh KBS mahupun Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap e-sukan di sekolah," ujarnya.Bagaimanapun, beliau menegaskan, beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama KPM melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian di mana hasil daripada sesi tersebut, KPM telah menyediakan kertas cadangan serta draf garis panduan bagi pelaksanaan e-sukan di sekolah.Kata beliau, mulai tahun depan, KPM akan menilai dan memberi sokongan kepada penganjuran pertandingan e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum."Sokongan ini hanya diberikan kepada penganjur yang menggunakan judul permainan yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penilai Judul Permainan," ulasnya.