Kertas siasatan kes 'Inspektor Sheila' telah dirujuk TPR

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung kes wanita dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang didakwa memperlekeh anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga asing memandu tanpa lesen di Jalan Ipoh di sini, telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, (TPR).Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes itu dan telah diserahkan ke pejabat TPR pada Isnin."Kita masih menunggu arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Pada Khamis, media melaporkan dalam kejadian pada 9.30 malam Selasa, wanita berkenaan telah menuduh anggota yang bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota terbabit mengugut warga asing tersebut.Anggota polis berkenaan membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.Terdahulu, tular video yang dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.