KUALA LUMPUR – Semua bentuk bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan jenayah hanya diberikan atas permintaan individu berkenaan dan bukan secara automatik oleh kerajaan.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk bantuan konsular seperti memaklumkan kepada keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas tahanan yang hanya akan dilakukan apabila diminta secara rasmi oleh individu terbabit.Menurutnya, setiap tindakan juga tertakluk kepada peraturan negara yang menahan serta prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara."Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka."Bagaimanapun, ada juga (kes) kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka sendiri meminta untuk memaklumkannya kepada kita," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH–Kluang) mengenai bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan dan hak asasi bagi rakyat Malaysia yang ditahan, serta sama ada terdapat peruntukan kewangan khusus bagi menjamin hak individu tersebut.Mohamad turut menjelaskan, kerajaan tidak menyediakan sebarang peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan.Sebaliknya, katanya, tanggungjawab berkenaan terletak kepada keluarga individu terbabit, kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma kepada warga asing.