JERTIH - Seorang pembantu kedai wanita berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki di tempat kerjanya di bandar Jertih di sini petang semalam. Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad berkata, dalam kejadian jam 6.50 petang itu mangsa berusia 20 tahun mengalami calar pada bahagian tangan dan leher apabila dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher emas yang dipakainya dirampas secara paksa, menyebabkan wanita itu kerugian kira-kira RM15,000. Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 8.10 malam tadi memberitahu ketika dia berada di tempat kerjanya iaitu sebuah premis kedai pakaian, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar warna biru dan jaket berwarna coklat. "Suspek terus mengambil barang kemas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dan polis masih giat mengesan suspek. "Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nurazam Rapail di talian 09-695 6222 sambungan 5913," katanya dalam kenyataan pada Isnin, sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira satu minit memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar masuk ke dalam sebuah premis pakaian sebelum bertindak menyamun seorang wanita. - Bernama