LANGKAWI – Polis sedang menyiasat kemungkinan tragedi bot karam yang meragut 13 nyawa di perairan sempadan Malaysia–Thailand setakat Ahad mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia yang aktif beroperasi antara Myanmar dan Malaysia.Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nurudin berkata, hasil siasatan awal mendapati beberapa nombor telefon dipercayai milik ejen sindiket telah dikenal pasti selepas temu bual bersama mangsa yang terselamat."Kami telah mengenal pasti beberapa nombor yang dikaitkan dengan ejen di Myanmar dan Malaysia."Siasatan kini tertumpu kepada pengesahan serta peranan mereka dalam kegiatan ini," katanya pada sidang media di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut, pada Isnin.Hadir sama Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.Jelas Khairul, polis turut menyiasat dua lelaki warga Bangladesh yang terselamat kerana dipercayai mungkin bukan mangsa, sebaliknya kru yang bekerjasama dengan sindiket berkenaan.Menurutnya, siasatan dilakukan dari pelbagai sudut."Kami sedang meneliti peranan dua individu ini bagi menentukan sama ada mereka benar-benar mangsa atau terlibat secara langsung dalam operasi membawa migran," ujarnya.Dalam pada itu, siasatan juga mendapati bot berkenaan membawa kira-kira 70 orang, berbanding anggaran awal 90 orang.Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 300 migran yang menaiki sebuah ‘kapal induk’ sebelum dibahagikan kepada tiga bot iaitu dua bot kecil dan satu bot besar ketika menghampiri sempadan maritim negara.Sementara itu, Romli berkata, tiada serpihan bot yang karam ditemui setakat ini dan menolak kemungkinan mangsa hanyut sehingga ke perairan Indonesia."Jarak ke perairan Indonesia sekitar 150 batu nautika. Berdasarkan keadaan semasa, seseorang yang hanyut biasanya hanya bergerak satu batu nautika sehari. Jadi kemungkinan itu amat rendah," katanya.