JAINJ cekup duda 70 tahun, janda 30-an disyaki berkhalwat

JOHOR BAHRU – Terpaksa bermalam kerana masih ada urusan rumah tangga yang belum selesai menjadi alasan utama seorang lelaki warga emas berstatus duda bersama seorang janda ketika dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah kampung di sebuah daerah di negeri ini pada Ahad.Dalam satu kenyataan di laman Facebook Penguatkuasa JAINJ 2025, pasangan berkenaan ditahan hasil serbuan yang dilakukan pada jam 9 pagi di rumah terbabit.Menurut kenyataan itu lagi, rumah berkenaan turut dikepung oleh pihak penguat kuasa JAINJ bagi memastikan tiada individu melarikan diri."Penguat kuasa mengetuk pintu sambil memanggil kuat-kuat dan dibuka sekerat oleh seorang lelaki. Apabila mengetahui penguat kuasa yang datang, dia cuba menutup pintu semula tetapi tidak berjaya."Penguat kuasa berjaya masuk ke dalam selepas memperkenalkan diri. Lelaki itu kelihatan ketakutan," menurut kenyataan tersebut.Tambah kenyataan itu lagi, hasil pemeriksaan mendapati seorang kanak-kanak berusia empat tahun sedang tidur di ruang tamu.Pemeriksaan lanjut juga menemui seorang wanita dalam keadaan berkemban keluar dari bilik air dipercayai baru selesai mandi."Wanita itu kelihatan ketakutan dan siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berusia 70 tahun, berstatus duda kematian isteri, manakala wanita terbabit berusia dalam lingkungan 30-an, berstatus janda bercerai dan mempunyai seorang anak."Wanita berkenaan berasal dari daerah lain dan sudah dua hari berada di rumah tersebut."Mereka juga mendakwa sedang dalam perancangan untuk berkahwin, namun mengatakan masih ada urusan yang belum selesai," menurut kenyataan itu lagi.Pasangan tersebut kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.