Suami isteri antara lapan ditahan bersama RM8.67 juta bunga ganja

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri dan enam lelaki ditahan bersama 247.7 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM8.67 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam pada Selasa lalu.Kesemua suspek ditahan dalam operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang bermula jam 10 malam, 4 November sehingga 6 petang keesokan harinya.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, daripada lapan tangkapan itu, seorang lelaki warganegara United Kingdom berketurunan Pakistan manakala seorang lagi suspek wanita warganegara Thailand.Menurutnya, kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 37 tahun itu bergerak aktif dalam kegiatan tersebut pada pertengahan Oktober lalu.Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki di sebuah inap desa yang disewa di Perda, Bukit Mertajam manakala suami isteri tersebut ditahan di tepi jalan di kawasan sama."Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas dadah di dalam lapan bagasi berzip pelbagai warna dan jenama yang mengandungi 162 bungkusan dadah disyaki dadah jenis bunga ganja anggaran berat 144,800 gram."Kita juga merampas sembilan bagasi berzip pelbagai warna dan jenama yang mengandungi 119 bungkusan dadah disyaki dadah jenis bunga ganja anggaran berat 102,900 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.Tambah Azizee, dalam tangkapan itu, polis berjaya menahan dalang sindiket iaitu suami kepada wanita Thailand tersebut yang berusia lingkungan 30-an."Suami isteri ini mempunyai kedai makan di Sendayan, Negeri Sembilan. Dua suspek merupakan beach boy, dua pekerja restoran manakala dua lagi bekerja sebagai penghantar makanan."Mereka ini merupakan keldai dadah yang berperanan sebagai transporter dengan bayaran antara RM9,000 hingga RM15,000 sekali hantar."Empat daripada suspek lelaki mempunyai hubungan kekeluargaan," katanya.Tambah beliau, bekalan dadah berkenaan dibawa masuk melalui jalan darat dari sempadan Pantai Timur sebelum disusun semula ke dalam bagasi untuk diseludup ke luar negara."Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa inap desa untuk dijadikan tempat bagi menyusun dadah berkenaan ke dalam bagasi agar tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa."Suspek yang diupah akan menyeludup kesemua dadah tersebut melalui jalan udara ke luar negara, namun tidak berjaya selepas kegiatan mereka berjaya dihidu pihak polis," jelasnya.Azizee menambah, sindiket berkenaan menyasarkan pasaran luar negara kerana harga dadah jenis bunga ganja tersebut boleh mencecah RM35,000 sekilogram."Sindiket hanya menjadikan negeri ini sebagai transit sebelum kesemua dadah ini diseludup ke luar negara."Rampasan ini adalah yang terbesar di Pulau Pinang setakat ini. Jika ia terlepas ke pasaran, dadah ini boleh digunakan oleh 500,000 penagih," ujarnya.Kata beliau, ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif manakala empat daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah."Kita turut menyita dua kenderaan iaitu kereta jenis Honda Civic dan Toyota Estima bernilai keseluruhan RM210,000."Kesemua mereka direman tujuh hari sehingga esok (Selasa) untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.