Video tular: 'Zurista' terlibat berehat, Zus Coffee ambil langkah sewajarnya

SHAH ALAM- Zus Coffee telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh susulan video tular melibatkan salah seorang pekerjanya.Dalam kenyataannya pada Isnin, Zus Coffee berkata, barista yang digelar ‘zurista’ oleh syarikat itu sedang berehat dan memulihkan diri daripada insiden tersebut."Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi Zurista kami."Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia yang mencuba yang terbaik," katanya.Terdahulu, video berdurasi lebih satu minit tular di media sosial menunjukkan seorang pelanggan wanita dipercayai dari tanah besar China menengking seorang barista atas kelewatan penyediaan minuman.Pelanggan terbabit juga didakwa menghina barista dengan panggilan 'perempuan gemuk' sebelum menyimbah minuman ke arahnya.Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menggesa semua pihak supaya menghormati privasi individu yang terlibat dan tidak menyebarkan semula video berkenaan."Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan palsu serta memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan," katanya.Ujar kenyataan itu lagi, Zus Coffee tidak bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perlakuan yang tidak menghormati komunitinya."Zus Coffee akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua," katanya.