Ewon serah surat letak jawatan menteri, tumpu agenda ‘Sabah First’ UPKO

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Datuk Ewon Benedick mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Isnin.Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, Ahli Parlimen Penampang itu turut memaklumkan akan menghabiskan baki cuti yang masih ada bermula hari ini."Petang ini saya akan mempengurusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO untuk membincangkan agenda 'Sabah First' yang sentiasa menjadi asas perjuangan Parti UPKO selama ini sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti," katanya.Sabtu lalu, Ewon mengumumkan keputusan untuk berundur daripada Kabinet susulan ketidaksefahaman dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah.Menurutnya, tindakan AGC itu seolah-olah mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat yang dipersetujui Sabah ketika menyertai Malaysia, seperti termaktub dalam dokumen asas Perlembagaan.Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional' serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.