Lombong emas haram di Dabong diserbu

KUALA KRAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu aktiviti melombong emas secara haram dan menahan lima lelaki di kawasan hutan Kampung Biak, Dabong di sini pada Isnin.Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun itu diberkas pada sekitar jam 3 petang dalam operasi Op Taring Wawasan yang dijalankan di kawasan berkenaan.Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua lelaki terbabit bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan tidak lama kemudian oleh anggota pasukan."Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan untuk kegiatan melombong emas secara haram termasuk tiga jentera berat jenis excavator, sebuah mesin pam air, mesin palong serta beberapa keping karpet," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.54 juta.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001 dan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk tindakan lanjut.Ijid memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi bagi membanteras kegiatan melombong emas secara haram yang bukan sahaja menjejaskan hasil negeri tetapi turut merosakkan alam sekitar.