KUANTAN - Rakyat Pahang dari pelbagai latar belakang dijemput hadir ke Program Town Hall Rakyat (THR) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan), yang akan berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail, di sini, malam ini (Selasa).Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, segala keperluan program telah disiapkan sepenuhnya."Semuanya telah bersedia, kini hanya menantikan kehadiran rakyat Pahang ke dewan ini malam ini," katanya kepada Sinar Harian.Jelas beliau, THR kali ini menyasarkan kehadiran sekitar 1,000 tetamu terdiri daripada rakyat Pahang pelbagai latar belakang."Kita mengalu-alukan kehadiran penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan paling penting, rakyat Pahang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk nelayan, petani, pelajar serta komuniti setempat."Semua dijemput hadir kerana inilah peluang terbaik untuk rakyat Pahang menyuarakan pandangan dan hasrat secara terus kepada Tok Wan, khususnya berkaitan Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang dijangka dibentangkan pada 5 Disember depan," jelasnya.Tambah beliau, program ini memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan cadangan dan pandangan secara langsung kepada Menteri Besar sebelum pembentangan belanjawan tersebut."Melalui program THR, kerajaan negeri, khususnya Tok Wan sendiri dapat mendengar suara rakyat dan memahami keperluan serta harapan mereka dengan lebih mendalam."Segala pandangan, cadangan dan teguran yang disuarakan nanti akan diperhalusi supaya setiap peruntukan benar-benar berfokus kepada pembangunan negeri dan kepentingan rakyat," ujarnya.Selain itu, beliau turut menggalakkan penyertaan secara dalam talian bagi mereka yang tidak berpeluang hadir secara fizikal."Kita jangkakan dewan berkapasiti 1,000 hingga 1,200 orang itu akan penuh kerana tempat duduk adalah terhad."Bagi rakyat dari daerah yang jauh atau tidak sempat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui platform Facebook Sinar Harian," katanya.Khairul Anwar turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh menonton siaran langsung program itu melalui Facebook rasmi Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan Pahang Media."Penonton juga boleh mengemukakan soalan secara langsung di ruangan komen, dan pasukan bertugas akan cuba memilih beberapa soalan untuk dijawab dalam sesi tersebut."Datanglah beramai-ramai malam ini ke Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail atau ikuti siaran langsung di platform digital kerana suara anda penting dalam membentuk masa depan Pahang yang makmur dan sejahtera," ujarnya.