PERLIS - Cubaan menyeludup bunga ganja bernilai lebih RM6 juta menggunakan sampan kayu gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan serbuan dalam satu operasi di Kuala Perlis pada 13 Oktober lalu.Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan JKDM dengan kerjasama Pasukan Risikan Ibu Pejabat, Unit Penguatkuasaan Marin Langkawi serta bantuan pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) sekitar jam 10 malam.Menurutnya, sepasukan pegawai yang menjalankan pemantauan menemui sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan tambak persisiran pantai."Hasil pemeriksaan menemukan empat guni bertulisan Thailand di dalam sampan berkenaan. Pemeriksaan lanjut ke atas guni itu membawa kepada penemuan bahan disyaki dadah jenis bunga ganja dengan berat keseluruhan kira-kira 67.48 kilogram."Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM6,209,816," katanya dalam kenyataan.Jelas beliau, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan sampan kayu untuk membawa masuk dadah dari negara jiran sebelum mendarat di kawasan terpencil bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.Katanya, JKDM dalam masa sama menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan kerana kegiatan itu bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya ke talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke pejabat JKDM terdekat.