Lelaki maut ditembak di stesen minyak antara individu dikehendaki polis

KLANG - Lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, Jumaat lalu dipercayai berada dalam senarai dikehendaki pihak polis.Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan turut mendapati mangsa memiliki rekod jenayah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)."Siasatan awal dijalankan polis mendapati mangsa merupakan antara individu yang dikehendaki."Mangsa memiliki pelbagai rekod jenayah termasuk di bawah SOSMA," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.Katanya, siasatan dijalankan turut menjurus kepada pelbagai aspek termasuk latar belakang mangsa."Polis turut menyiasat meliputi semua sudut termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan haram dalam insiden ini."Setakat ini, tujuh individu telah dirakam keterangan melibatkan saksi kejadian di stesen minyak berkenaan," katanya.Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa ditembak beberapa kali di bahagian dada dan perut."Jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarga selepas bedah siasat dijalankan sebelum ini," katanya.Terdahulu, suasana gempar di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi apabila seorang lelaki ditembak beberapa kali oleh individu menaiki motosikal, Jumaat lalu.Video kejadian yang tular memaparkan ketika kejadian, mangsa berdiri di sebelah kereta sebelum seorang wanita yang memandu kenderaan berkenaan masuk ke stesen minyak.Tiba-tiba dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri dari arah hadapan sebelum pembonceng melepaskan tembakan ke arah mangsa.Akibat itu, mangsa didapati rebah sebelum kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal itu meninggalkan lokasi kejadian.