KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penggantungan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja bukan berpunca daripada peranan Malaysia sebagai pengantara dalam memuktamadkan persetujuan berkenaan.Beliau berkata, keputusan Bangkok itu dibuat selepas mengambil kira gesaan supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya perincian perjanjian yang dijangka membawa kepada pembebasan 18 tahanan di bawah Thailand."Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul juga tidak pernah mempertikaikan tanggungjawab serta peranan Malaysia dalam proses pengantaraan itu."Cuma dia (Anutin) kata, kena gesa supaya Kemboja juga mematuhi (perjanjian) sepenuhnya dan 18 tahanan di bawah Thailand akan dilepaskan semua," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai dakwaan tindakan penggantungan itu ada kaitan dengan tuduhan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap yang mendakwa Malaysia sebagai 'tangan ghaib' menentukan hala tuju rundingan damai berkenaan.Sebelum ini media melaporkan, Anutin mengumumkan penggantungan serta-merta pelaksanaan perjanjian damai Thailand-Kemboja dan pembebasan 18 tahanan tentera Kemboja, susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan empat anggota tentera Thailand di wilayah sempadan Si Sa Ket.Letupan dipercayai berpunca daripada periuk api yang baru dipasang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di kawasan sempadan.Anutin menyifatkan insiden tersebut sebagai tindakan bermusuhan dan menegaskan bahawa semua aktiviti di bawah perjanjian damai yang dimeterai di Kuala Lumpur pada Oktober lalu akan dibekukan sehingga situasi menjadi lebih jelas.Dalam pada itu, Anwar menegaskan, Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras terhadap rundingan melibatkan kedua-dua negara itu."Bila kita panggil kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan kemboja), saya kata Malaysia hanya bantu menyelaraskan dan memohon pendamaian."Mereka yang tentukan parameter, buka kita letakkan syarat. Bukan saya tetapkan syarat pendamaian, kita hanya bantu menyelaras dan mereka berdua bersetuju."Sekiranya ada pelanggaran, maka timbul masalah," tegasnya.