KOTA KINABALU - Ribuan pengguna perkhidmatan bot laju Menumbok-Labuan boleh menarik nafas lega apabila kadar tambang dikembalikan semula pada harga asal sebanyak RM9, berkuat kuasa hari ini.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dicapai hasil dua siri pertemuan antara kementeriannya dengan agensi kerajaan berkaitan serta Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok bagi membincangkan isu kenaikan harga tambang yang berkuat kuasa pada 1 November lalu."Hasil muafakat dan perbincangan yang berlangsung, persetujuan telah dicapai supaya kadar tambang penumpang dikembalikan kepada harga asal RM9 berbanding RM12 yang diumum sebelum ini."Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta mulai 11 November 2025 dan memberi kelegaan kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan bot ini sebagai pengangkutan utama antara Menumbok dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Armizan berkata, kerajaan turut komited membantu pengusaha bot dengan mempercepatkan proses kelulusan permohonan subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)."KPDN bersama agensi berkaitan akan membantu menyegerakan kelulusan permohonan subsidi sebaik para operator bot yang layak memohon melalui SKPS bermula 13 November ini."Langkah ini penting bagi memastikan kebajikan pengusaha turut dilindungi dan mereka tidak terus menanggung beban kenaikan kos bahan api," katanya.Menurutnya lagi, sebagai langkah interim, operator bot yang layak juga dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api menerusi sistem yang sama, berkuat kuasa hari ini."Tuntutan bayaran balik untuk tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025, iaitu ketika harga tambang belum dinaikkan dan pengusaha terpaksa menanggung kos tambahan juga akan dipertimbangkan dengan syarat disertakan rekod pembelian."Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga keseimbangan antara kepentingan pengguna dan kelangsungan operasi pengusaha bot," katanya.Dalam pada itu, Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok atas kerjasama erat dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut."Terima kasih kepada persatuan kerana menunjukkan sikap terbuka dan bersedia berbincang bagi kepentingan bersama."Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Datuk Limus Jury, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, atas peranan beliau dalam membantu memastikan kepentingan kedua-dua pihak, pengguna dan pengusaha diberi perhatian sewajarnya," ujarnya.Untuk rekod, selain feri, bot laju merupakan pengangkutan utama di Menumbok bagi rakyat Sabah dan Labuan untuk berulang alik antara pulau tersebut ke tanah besar Sabah.