KUANTAN – Polis Pahang mengesahkan bahawa wanita warga Indonesia yang ditemukan dalam keadaan mereput di bawah pelepah kelapa sawit di Telemong, Bentong, minggu lalu telah dibunuh hampir dua minggu lalu berdasarkan hasil bedah siasat.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan itu, tiga lelaki warga asing yang bekerja sebagai pekerja ladang telah ditahan, termasuk seorang lagi yang ditahan pada petang Isnin.Menurutnya, hasil siasatan awal menunjukkan terdapat suspek yang mengaku terlibat dalam kejadian tersebut."Mangsa berusia 41 tahun bukan tinggal di Telemong, sebaliknya berasal dari Sentul, Kuala Lumpur."Malah, mangsa dikatakan datang ke kawasan ladang sebelum berjumpa dengan suspek, lalu berlaku pertikaian dan mangsa telah dibunuh," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu dalam sidang akhbar di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini pada Selasa.Yahaya memberitahu, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menggunakan objek tumpul untuk membunuh mangsa.Jelas beliau, mayat mangsa ditemui dalam keadaan ditutup dengan pelepah kelapa sawit."Keadaan mayat yang telah mereput selepas dua minggu menyebabkan polis masih menyiasat kesan kecederaan sebenar," katanya yang turut memaklumkan bahawa permohonan reman terhadap suspek telah dibuat pada Selasa bagi siasatan lanjut.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa mayat mangsa ditemukan pada 3 November bersama beberapa barangan miliknya berhampiran lokasi penemuan, termasuk sehelai seluar sukan hijau, seutas jam tangan jenama Casio, sepasang selipar hitam dan baju hud berwarna hitam.Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat dan pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.