Love scam sasar warga Jepun tumpas

SHAH ALAM - Taktik licik sindiket penipuan dalam talian menggunakan akaun palsu dengan identiti rekaan untuk mencari hubungan romantik terbongkar dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Semenyih, Kajang, baru-baru ini.Sindiket didalangi warga asing ini turut dipercayai berpura-pura sebagai pegawai organisasi atau individu berpengaruh untuk meyakinkan mangsa agar membuat pemindahan wang.Lebih mengejutkan, sindiket dipercayai sanggup menyewa unit kediaman ini dipercayai dengan anggaran ribuan ringgit sebulan untuk menjalankan aktiviti penipuan ini.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kajang dengan bantuan pakar analisa media sosial dari IPD Klang Selatan pada 5 November 2025."Seramai 13 individu bukan warganegara terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita."Selain itu, turut dirampas pelbagai peralatan melibatkan 11 komputer riba serta 11 telefon bimbit pelbagai jenis yang digunakan dalam operasi sindiket terbabit," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.Katanya, siasatan mendapati sindiket tersebut beroperasi secara tersusun dengan menumpukan sasaran kepada mangsa di Jepun melalui platform media sosial."Setiap ahli sindiket diarahkan mencipta akaun palsu dengan gambar serta latar belakang rekaan selain membuat posting harian bagi menjadikan akaun tersebut kelihatan aktif dan meyakinkan."Selepas berjaya menarik perhatian, mereka mula mendekati mangsa dengan mesej peribadi untuk mendapatkan nombor telefon dan akaun media sosial lain," katanya.Menurutnya, sindiket itu turut mempunyai pembahagian tugas yang jelas dengan sebahagian ahli ditugaskan berinteraksi dengan mangsa manakala yang lain menguruskan urusan kewangan termasuk penerimaan serta pengagihan hasil penipuan."Sindiket berkenaan juga menggunakan beberapa aplikasi media sosial sebagai medium komunikasi dalaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa."Selepas berjaya membina kepercayaan, ahli sindiket akan menggunakan pelbagai helah termasuk merayu simpati atau mencipta situasi kecemasan bagi memperdaya mangsa supaya memindahkan wang ke dalam akaun tertentu," katanya.Tambahnya, siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi lebih tiga bulan dan menggunakan rangkaian internet tempatan."Kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan."Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan individu yang dikenali secara maya serta tidak mudah terpedaya dengan janji cinta atau permintaan bantuan kewangan daripada kenalan internet," katanya.Shazeli berkata, orang ramai turut diingatkan tidak berkongsi maklumat peribadi, gambar atau butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali."Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sindiket 'calling centre' Love Scam ini diminta menghubungi Hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alif Ashraf Mohd Sohor bagi membantu siasatan," katanya.