KUALA LUMPUR - Rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dipercepatkan pada minggu pertama Disember selepas pembentukan kerajaan negeri yang baharu.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini tiada keperluan untuk pertikaian mengenai perkara itu ekoran kerajaan mengiktiraf sepenuhnya hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Artikel 112C dan 112D."Kita bersetuju pada prinsip dan rundingan telah pun dimulakan. Kita hanya perlu meneliti keseluruhan gambaran dan masa yang sesuai."Berhubung dengan mandamus, hakim di Kota Kinabalu menyatakan bahawa rundingan mesti dimulakan dan pada masa ini kerajaan negeri masih bersifat sementara, jadi rundingan belum dapat dijalankan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai status keputusan kehakiman terkait tuntutan kerajaan Sabah akan memberi kesan terhadap perancangan ekonomi secara keseluhuran pada masa akan datang.Dalam pada itu Anwar menjelaskan, kerajaan bersedia untuk mengurangkan peruntukan pembangunan bagi Sabah sebagai usaha memenuhi gesaan pemulangan hak 40 peratus hasil Persekutuan kepada Kota Kinabalu.Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, sebarang keputusan mengenainya perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelak sebarang pertelagahan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.Malah menurutnya perkara berkaitan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam Mesyuarat Khas Kabinet yang dijadualkan berlangsung petang ini."Ini akan dibincang dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri. Apa dia hasil dari Sabah yang (bernilai) RM10 bilion. Kita perincikan dan apa dia RM17 bilion yang dibelanjakan kerana ada pihak di Sabah bertanyakan (perincian perbelanjaan)."Memang ada peruntukan yang memang syarat Kerajaan Persekutuan seperti pendidikan, kesihatan (dan) pertahanan, tetapi kita boleh kurangkan (peruntukan) pembangunan (untuk Sabah)," ujarnya.