Pesara pensyarah nyaris maut kereta rempuh sekawan lembu di LPT2

KEMAMAN – Dua pesara pensyarah berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki merempuh sekawan lembu di Kilometer (KM) 301.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur ke Plaza Tol Kijal di sini pada awal pagi Selasa.Insiden sekitar jam 4.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Khlipah Ibrahim, 65, mengalami lebam di tangan kanan, manakala suaminya, Ahmad Aziz, 67, tidak mengalami sebarang kecederaan.Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari kediaman mereka di Bandar Dungun menuju ke Kuantan, Pahang."Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Accord yang dipandu Khlipah gagal dikawal selepas merempuh sekumpulan lembu yang melintas secara tiba-tiba dari kiri ke kanan jalan."Akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa yang memandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar kira-kira lima hingga tujuh ekor haiwan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).