'Inspektor Sheila' akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR - Seorang wanita dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang didakwa memperlekeh anggota polis akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes itu dan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin."Siasatan telah selesai, kita akan tuduh dia (Inspektor Shiela) di mahkamah dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.Dalam kejadian jam 9.30 malam pada 4 November lalu, wanita itu didakwa menuduh anggota polis yang sedang menahan dan memeriksa seorang lelaki warga Pakistan memandu tanpa lesen sah, tidak mengetahui undang-undang.Wanita terbabit turut mendakwa anggota polis mengugut lelaki warga Pakistan berkenaan selain turut diperlekehkan.Susulan itu, anggota polis berkenaan kemudian membuat laporan polis sebelum kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil kerana melakukan penghinaan.Terdahulu tular video yang dimuat naik wanita terbabit di laman media sosial dan mendakwa anggota polis mengugut warga Pakistan yang menunggang motosikal tanpa lesen.Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, berhubung beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.