SHAH ALAM - Sebanyak 230 kes pengubahan wang haram (AMLA) lebih RM24.1 juta membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa untuk dibicarakan bersama.Ia membabitkan Nasiruddin Mohd Ali, 66, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan jumlah RM10,084,323.70, Hamimah Yakub, 73, (59 pertuduhan, RM2,145,357.62), Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, (43 pertuduhan, RM3,806,392.01) dan suami Asmat iaitu Mohd Khushairi Osman, 54, (51 pertuduhan, RM8,136,047.51).Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes yang dihadapi semua tertuduh, untuk dibicarakan di hadapan Hakim, Datin Fatimah Zahari.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, permohonan untuk menggabungkan kes dibuat bagi menjimatkan kos dan masa pihak-pihak yang terlibat."Ia juga akan memudahkan kehadiran saksi serta pihak-pihak terlibat, selain membantu dalam persediaan pra perbicaraan dan melancarkan perjalanan perbicaraan," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki.Mendengar perkara itu, peguam, Nurainaa Kamilah Zalizan yang mewakili Hamimah manakala peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tiga tertuduh lain, tidak membantah permohonan tersebut.Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari 2026.Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan beberapa akaun antaranya milik akaun milik tertuduh sendiri, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tour Sdn Bhd dan sebuah pusat penjagaan kanak- kanak di Bandar Baru Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.