SHAH ALAM – Seramai lima pengurusan tertinggi sebuah kilang kekal dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan melakukan khianat serta melepaskan bahan buangan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, hingga menyebabkan gangguan bekalan air, lima tahun lalu.Hakim, Dr Hazlina Hussain memutuskan demikian selepas mendapati, mahkamah rendah telah memberikan penilaian maksimum terhadap bukti di hadapannya dan tidak memerlukan campur tangan rayuan pendakwaan terhadap lima lelaki terbabit.Mereka ialah empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai, 58, Yip Kok Mun, 63, Yip Kok Kuin, 55, dan Yip Kok Weng, 65, serta pengurus, Ho Voon Leong, 64.Ketika membaca keputusan berkenaan, beliau bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa terdapat jurang penting dalam kes pendakwaan."Pendakwaan gagal untuk memanggil pegawai dari Jabatan Kimia Malaysia dan pegawai Jabatan Alam Sekitar untuk memberi keterangan."Bukti hanya dikemukakan menerusi keterangan pegawai penyiasat sedangkan saksi itu tidak mempunyai kepakaran dalam mengemukakan laporan kes," katanya.Selain itu beliau berkata, pihak pendakwaan juga tidak mencabar alibi semua tertuduh ketika kejadian didakwa dilakukan.Katanya, pegawai penyiasat juga tidak menyiasat lebih lanjut notis alibi tersebut, sekali gus menjejaskan kes pendakwaan.Menurutnya, terdapat juga percanggahan antara sampel yang diambil dari loji rawatan air yang tercemar dengan sampel yang diambil dari premis syarikat itu.Pada 15 September 2020, empat beradik dan pengurus bengkel itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama iaitu dengan niat bersama melakukan khianat, menyebabkan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke alur air.Sedangkan, ia akan mengalir ke dalam Sungai Gong, dengan mengetahui bahawa akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September 2020.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama, dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Dalam kes terbabit, semua lelaki itu diwakili peguam, Datuk M Reza Hassan dan Abdul Rashid Ismail, sementara pendakwaan selaku perayu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.Pada 17 Januari lalu, mereka dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan berkenaan.Hakim, Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan.