Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM1.27 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta RM5.9 bilion bagi aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) merentasi semua kementerian dalam usaha memperkukuh rantaian inovasi negara daripada penyelidikan asas hingga ke pasaran.Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) agar setiap sen dibelanjakan memberi pulangan berganda kepada ekonomi melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan produktiviti industri tempatan serta pembangunan penyelesaian teknologi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat."Pendekatan From Lab to Livelihood menjadi panduan utama dalam pelaksanaan dasar dan program RDCI. Hasil penyelidikan bukan lagi terhenti di makmal atau dalam bentuk penerbitan, tetapi diterjemahkan menjadi produk, perkhidmatan dan penyelesaian teknologi yang boleh dimanfaatkan industri, kerajaan dan komuniti."MOSTI memacu transformasi ini melalui Dana Pengkomersialan STI, Malaysia Science Endowment (MSE) serta Dana Nasional Syarikat Terbitan yang mempercepat perjalanan hasil penyelidikan ke pasaran."Matlamatnya agar setiap penyelidikan yang dibiayai kerajaan akhirnya menjana pekerjaan, membina syarikat baharu dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, Peruntukan Mengurus (OE) bagi tahun 2026 mencatatkan peningkatan sebanyak RM20.74 juta atau 2.81 peratus (%) berbanding tahun 2025, manakala Peruntukan Pembangunan (DE) akan disalurkan kepada 52 projek berimpak tinggi yang merangkumi sektor penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan serta perkhidmatan STI.Lih Kang berkata, peruntukan yang signifikan ini adalah cerminan kepercayaan kerajaan terhadap peranan STI sebagai enjin utama dalam kerangka Ekonomi MADANI."Fokus kita di bawah Tekad Keempat Belanjawan 2026: Memacu Produk Ciptaan Malaysia amat jelas. MOSTI akan mempergiat usaha RDCI, khususnya dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan blockchain," katanya.Negara AI Menjelang 2030Mengulas lanjut, beliau berkata di bawah kerangka RDCI, Malaysia sedang memacu agenda Negara AI Menjelang 2030 sebagai pemacu baharu ekonomi digital negara."Kerajaan memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi pembangunan Sovereign AI Cloud, yang menjadi tulang belakang pemprosesan data dan aplikasi AI nasional."Matlamat utama inisiatif ini ialah mempercepat penerapan teknologi AI merentas sektor utama seperti kesihatan, pertanian, keselamatan siber, mobiliti dan pendidikan, sambil memastikan kedaulatan data negara terpelihara," katanya.MOSTI turut memperkukuh pelaksanaan AI Sandbox di bawah MRANTI dan disokong oleh MIMOS, bagi membolehkan teknologi kecerdasan buatan diuji dari segi keselamatan, kebolehpercayaan dan keberkesanan sebelum dilaksanakan secara besar besaran selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.Dalam bidang teknologi hijau dan robotik, Nano Malaysia serta Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) memacu pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui, automasi pintar dan inovasi akar umbi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta mengurangkan kos tenaga."MOSTI kini menilai kejayaan peruntukan RDI bukan sekadar melalui bilangan projek atau paten dihasilkan, tetapi berdasarkan impak sebenar kepada rakyat, termasuk penciptaan pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kualiti hidup," katanya.Antara kejayaan ketara, katanya, melalui NTIS dan MRANTI Park, lebih 80 teknologi tempatan telah dikomersialkan dengan nilai melebihi RM150 juta, termasuk sistem dron penghantaran ubat di Sabah dan Pahang bagi mempercepat bekalan kesihatan ke kawasan pedalaman.YIM pula memperkasa inovasi komuniti luar bandar melalui program seperti Inovasi Desa di Kelantan dan Sarawak yang membantu penduduk menghasilkan produk berasaskan sains dan teknologi seperti baja organik, penapisan air mudah alih serta tenaga suria berskala kecil.Selain itu, inisiatif Malaysia Commercialisation Year (MCY) dan Bengkel Inovasi GLC (BIG) turut membuka peluang pekerjaan baharu apabila syarikat besar mula mengadaptasi teknologi tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan dan perkhidmatan digital."Program seperti Malaysia Techlympics 2025, yang menyasarkan 1.7 juta peserta di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, memberi peluang kepada bakat muda luar bandar untuk meneroka bidang sains dan teknologi," katanya.Menurut Lih Kang, MOSTI juga melaksanakan teknologi AI yang selamat, beretika dan telus selaras aspirasi Malaysia MADANI."Selain rangka kerja governans AI, Belanjawan 2026 turut memperkenalkan potongan cukai 50 peratus bagi latihan AI dan keselamatan siber untuk PKS bagi mempercepat penggunaan bertanggungjawab serta memperkasa tenaga kerja."MOSTI juga menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Blockchain dan Kecerdasan Buatan (NBAIC) bagi memantau pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Blockchain Negara 2021–2025 dan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021–2025," katanya.Beliau menambah, Garis Panduan Governans dan Etika AI (AIGE) yang telah dilancarkan pada bulan September 2024 adalah hasil kolaborasi dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan meminimumkan risiko serta memastikan teknologi AI mematuhi prinsip-prinsip AI yang bertanggungjawab seperti keadilan, ketelusan dan akauntabiliti.Menurutnya, Program Rintis AI Sandbox, kini dalam fasa pertama (Platform Maya), dijangka memupuk sehingga 900 syarikat pemula berasaskan AI menjelang 2026, selain melahirkan lebih 13,000 bakat baharu AI hasil kerjasama MOSTI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)."Secara keseluruhan, inisiatif ini berpotensi menyumbang sehingga 10 peratus pertumbuhan ekonomi negara melalui pewujudan industri baharu, peluang pekerjaan serta peningkatan daya saing Malaysia di pasaran global," katanya.Strategi MOSTI kekal seimbangDalam pada itu, Lih Kang berkata, strategi MOSTI kekal seimbang antara keperluan meningkatkan daya saing global dan membina ketahanan domestik agar inovasi terus memanfaatkan rakyat tanpa meninggalkan mana-mana kelompok."Malaysia kini berada di tangga ke 34 dalam Global Innovation Index (GII) 2025. Kami mahu terus memperbaiki kedudukan sambil memastikan inovasi mengurangkan jurang, bukan menambahnya."Dengan peruntukan RDCI sebanyak RM5.9 bilion, pembangunan Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion dan insentif latihan AI, saya yakin inisiatif Dari Makmal ke Mata Pencarian akan menghasilkan pekerjaan lebih baik, firma lebih berdaya saing dan mutu hidup yang meningkat," katanya.