EAIC tubuh pasukan khas siasat isu kewarganegaraan pemain naturalisasi

SHAH ALAM – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia.Menurut kenyataan EAIC pada Selasa, mesyuarat pertama pasukan berkenaan diadakan pada 11 November dan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas.Turut hadir, ahli-ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar, serta pegawai kanan Bahagian Operasi EAIC.Mesyuarat itu turut memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Yusof Ismail yang sebelum ini diumumkan sebagai ahli Pasukan Petugas Khas, digugurkan daripada senarai keanggotaan bagi mengelakkan sebarang potensi konflik kepentingan memandangkan beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Siasatan Bebas (Independent Investigation Committee – IIC) oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).Selain itu, menurut kenyataan itu, mesyuarat turut menetapkan Terma Rujukan (Terms of Reference – TOR) Pasukan Petugas Khas sebagai panduan utama bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berintegriti.EAIC menjelaskan, pasukan khas itu akan meneliti dengan mendalam aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain naturalisasi berkenaan."Pasukan Petugas Khas EAIC komited untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan selaras dengan mandat Suruhanjaya ini di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]," tambah kenyataan itu.