Kerajaan peruntuk perumahan untuk veteran TUDM, isytihar tanah rizab Melayu di KL

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperuntukkan kawasan perumahan khusus untuk veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas mengambil alih Lapangan Terbang Sungai Besi sebagai hak milik penuh syarikat kerajaan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan bekas anggota pasukan keselamatan yang majoritinya terdiri daripada bumiputera."Dalam agenda bumiputera menerusi belanjawan, saya tekankan walaupun tidak diuar-uarkan, bila kita mengambil alih Lapangan Terbang Sungai Besi lama menjadi hak milik kerajaan sepenuhnya, kita memperuntukkan perumahan untuk veteran tentera udara yang tentunya 90 peratus daripada mereka ialah bumiputera."Pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan, kerajaan juga telah mengisytiharkan sebanyak 50 ekar (20.23 hektar) tanah utama di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu."Ini berbeza daripada orang kempen Melayu, tetapi belum ada satu inci tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur semasa mereka memerintah. Itu saya perlu tekankan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.Sebelum ini beliau yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2026 mengumumkan tambahan 20.23 hektar tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia.Langkah itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memelihara tanah rizab Melayu.Selain itu, pada Februari lalu Kementerian Kewangan memaklumkan pembangunan Bandar Malaysia sepenuhnya kini di bawah KLCC Development Sdn Bhd (KLCCD), anak syarikat milik penuh KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH).Pembangunan Bandar Malaysia melibatkan sebuah pembangunan unik dan inklusif merangkumi aspek komersial, perumahan dan rekreasi bercirikan kelestarian.Ini termasuk penyediaan 10,000 unit perumahan mampu milik dengan ruang terbuka dan taman.