Lucut hak lesen, sitaan menanti syarikat pengendali ingkar - JPJ

SHAH ALAM – Lucut hak lesen pengendali dan penyitaan kenderaan antara tindakan yang akan dikenakan terhadap mana-mana syarikat lori cuai serta gagal mematuhi peraturan jalan raya menerusi Ops Perang Lebih Muatan di seluruh Selangor.Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengekang tindakan pengendali yang mengabaikan aspek keselamatan demi keuntungan.Beliau berkata, tindakan tegas termasuk melucutkan lesen pengendali dan menyita kenderaan akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang terbukti membiarkan pemandu mereka membawa muatan berlebihan atau memandu tanpa lesen sah."Mana-mana syarikat yang didapati cuai akan dikenakan tindakan tegas termasuk lucut hak lesen pengendali dan penyitaan kenderaan."JPJ tidak akan berkompromi dengan pihak yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini pada Selasa.Katanya, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah lesen memandu (1,745 kes), lesen vokasional GDL dan PSV (1,926 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (1,867 kes), tiada perlindungan insurans (679 kes) serta kesalahan teknikal (3,739 kes)."Selain itu, sebanyak 747 kes lebih muatan turut dikesan, termasuk 20 kenderaan yang membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had dibenarkan, manakala 1,980 kenderaan pula gagal memasang alat penghad laju seperti diwajibkan."Sepanjang tempoh operasi, JPJ turut mengeluarkan 23,447 notis pelbagai jenis, termasuk 13,923 saman, 3,489 notis larangan penggunaan kenderaan, 3,561 notis arah periksa, 201 notis permintaan butiran pemandu serta 2,253 notis panggilan temu siasat," katanya.Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kenderaan disita kerana membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had dibenarkan."Tindakan tegas ini penting bagi memastikan pemandu dan syarikat tidak sewenang-wenangnya mengabaikan undang-undang demi keuntungan."JPJ Selangor akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penyamaran bagi mengesan taktik pemandu lori serta pengendali yang cuba mengelak pemeriksaan di lebuh raya dan kawasan industri," katanya.Azrin menegaskan, pihaknya tidak hanya menunggu di sekatan jalan raya, sebaliknya turut melakukan penyamaran bagi mengesan kegiatan lori membawa muatan berlebihan dan dipandu individu tiada lesen."Pendekatan ini terbukti berkesan dalam mengekang pelanggaran undang-undang," ujarnya.Azrin turut menasihatkan semua pengendali dan syarikat logistik supaya memastikan setiap pemandu memiliki lesen sah serta menjalani latihan keselamatan sebelum dibenarkan mengendalikan kenderaan berat."Orang ramai diseru menyalurkan aduan berhubung kesalahan kenderaan perdagangan secara masa nyata melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my, dengan menyertakan butiran lengkap kenderaan serta lokasi kejadian bagi tindakan segera pihak berkuasa."Penguatkuasaan bukan hanya tanggungjawab JPJ semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan jalan raya kekal selamat.