KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung pemberian khas 40 peratus kepada Sabah sebagai tanda bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami harapan dan aspirasi rakyat negeri ini.Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, langkah itu turut mencerminkan komitmen tulen Perdana Menteri untuk menegakkan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan."Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan."Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Tambah Hajiji, menghormati keputusan mahkamah merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas."Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu," ujarnya.Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut, sambil menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri.Terdahulu, dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas tersebut sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemberian khas berkenaan dan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera.